Assalamualaikum dan Selamat sehjahtera,

Pertama sekali, terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Diharap anda enjoy dengan post yang saya pamerkan pada blog ini. Sekiranya ada komen / pandangan yang diberikan, sila-silalah catat komen anda yer.

Errmmm..nak cakap pe lagi yer…huhu…itu jela….selamat melayari blog…terima kasih sekali lagi…peace..Wassalam…

Mohd Hardani @ Teruna Banjar (^_^)


Selasa, 14 Ogos 2012

Musibah atau Barakah Bukan Kesimpulan Hidup




Suatu masa ada seorang petani miskin yang mempunyai seekor kuda yang sangat indah. Kuda putih yang gagah itu sangat menarik perhatian sehingga raja terpikat dan bermaksud untuk membelinya. Tapi si petani menolak untuk menjualnya.

Si petani itu tidak bersedia menjual kuda itu walaupun raja sudah berkenan membayar dengan harga berapa pun. Jiran sekitar petani sangat menyesal dengan sikap petani miskin itu. Mereka berpendapat bahawa dengan menjual kuda itu, petani itu dapat mengubah hidupnya dan menjadi lebih senang. Jiran tetangga petani itu juga ada mengatakan bahawa kemungkinan petani itu akan menerima musibah atau kutukan akibat menolak rezeki sedemikian besar.

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Beberapa hari kemudian, kuda putih milik petani itu hilang daripada kandangnya. Tetangga si petani miskin itu berasa hairan. Mereka menyalahkan petani miskin itu yang tidak mahu menjual kudanya.

Mereka mendatangi petani miskin itu dan mengatakan bahawa dia telah terkena kutukan, dengan adanya musibah itu. Dengan menarik nafas agak panjang, si petani menjawab: “Kalian jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kudaku itu keluar dari kandangnya. Itu saja! Jangan engkau menganggap ini sebagai musibah atau malah barakah bagi saya!”

Setengah bulan kemudian, tiba-tiba kuda itu muncul dengan membawa lima ekor temannya. Kuda-kuda itu kemudian dilatih dan selepas jinak, dijual oleh petani itu dan dapat hidup mewah.

Semua tetangga menemui petani dan mengakui kesalahan mereka. Mereka mengatakan bahawa memang hilangnya kuda putih setengah bulan lalu adalah barakah. Si petani kemudian berkata: “Sudahlah jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kuda putih telah kembali dengan membawa teman-temannya. Itu saja! Jangan engkau mengatakan bahawa ini adalah sebuah musibah atau malah barakah bagi saya”.
Jiran tetangga kembali ke rumah masing-masing sambil tetap berpendapat bahawa petani itu begitu beruntung kerana telah mendapat barakah atas kembalinya kuda putihnya.

Si petani ini mempunyai seorang putera. Dia membantu ayahnya untuk menjinakkan kuda liar. Pada suatu saat, dia terjatuh ketika berusaha menjinakkan seekor kuda. Kakinya patah.

Tetangga pun kembali datang dan membenarkan apa yang dikatakan si petani. Mereka akhirnya mengakui bahawa kembalinya kuda-kuda itu bukan membawa barakah. Namun, si petani berkata: “Mengapa kalian begitu bodoh. Jangan terlalu cepat menyimpulkan! Baiklah anggap saja puteraku telah jatuh dan kakinya patah. Itu saja! Jangan engkau mengatakan apakah ini sebuah musibah atau barakah bagi saya.”

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al Baqarah: Ayat 216).

Jumaat, 10 Ogos 2012

TANDA - TANDA MALAM AL-QADAR...

Dipetik laman sesawang dakwah seorang hamba Allah yang sentiasa berjuang menegakkan jihad dalam penulisan.


Kata orang lihat pada sebelah paginya – tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.

Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!” Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja.”

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat. 

Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!

Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.

Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…

Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!


Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim..aminn


Nota Hati : Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mendapat rahmat di malam lailatul qadar..amin.. Mari sama-sama meningkatkan amal ibadat kita di bulan rahmat ini.

KESAN NIKMAT ITU PERLIHATKANLAH!



Apa yang ada di dalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.

Justeru, Sayidina Uthman Ibn Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan,”Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu, kecuali Allah akan mengungkapnya melalui raut wajah dan lisannya.”
Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.

Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,”Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik.”

Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?

Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.   

Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Auf bin Malik menceritakan, “Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan berpakaian yang sudah lama dan lusuh.” Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu mempunyai harta?” Aku menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi,”Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?” Aku menjawab,”Allah memberikan pada ku melalui unta, kambing, keldai dan tepung.” Lantas Rasulullah SAW berkata, “ Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepada mu.”

Dalam konteks yang sama pernah Rasulullah SAW melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus, lalu baginda bersabda,”Apakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?” Rasulullah SAW juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas baginda menegur,”Apakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?”

Ternyata Rasulullah SAW adalah orang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah SAW. Baginda adalah “Al Quran hidup” yang begitu indah bila dilihat, apalagi bagi yang bergaul bersamanya. Dari Jabir bin Samrah  RA, diriwayatkan,”Aku melihat SAW pada suatu malam terang bulan, aku melihat antara Rasulullah SAW dan bulan.” Jabir menyambung.” Ternyata Rasulullah SAW bagi ku lebih indah daripada rembulan.”

Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, sikaya dan simiskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam.

Itulah juga tradisi dan ‘life style’ para Salafus soleh. Imam Ahmad Ibnu Hanbal rhm misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan seorang yang kaya. Beliau adalah seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati.

Tentang penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya Al Maimuni telah berkata,”Aku tidak pernah melihat ada seseorang yang memakai pakaian lebih bersih dari Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih seperti  yang dipakai oleh Imam Ahmad.”

Inilah jalan yang ditempuh oleh para Salafus soleh untuk meneladani jalan Rasulullah saw dan inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat, wajah, lisan, pakaian dan luaran kita adalah terjemahan apa yang ada di dalam hati kita!

nota hati : tak perlu belajar control wajah dalam semua keaadaan, yang penting jaga hati dan sentiasa mensyukri nikmat Ilahi. Insyaallah hati akan tenang dan wajah akan berseri. Kerana insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Ilahi akan sentiasa berasa tenang. Insyaallah..

Selasa, 24 Julai 2012

Kuih Sepit a.k.a Kapit

Fuhh..mencabar juga...itu ayat pertama yang terkeluar dari mulut bile cuba membuat kuih ni. Mane tak nyer, first time wat ade yang tak bpe masak, tlebih masak dan paling best menahan panas minyak. Bila dengar dari cerita mak memang nampak agak mencabar wat kuih ni tapi aku tak bpe kesah..konon igt senang..hahaha..sekali da buat, tau camne pengalamannya. tapi berbaloi sebab rase seronok bile da jadi. Timbul rase kepuasan.
Bile da siap aku pon rase kuih tersebut, pehh..memang power kuih masakan orang bujang nih..kalah anak dara..huhu (saje puji diri sendiri). Ni memang pengalaman pertama aku wat kuih, tapi alhamdulillah menjadi juga. Sebenarnya tidak lah susah nak wat kuih ni, senangjer cume jari perlu tahan dengan kepanasan minyak. So pade kawan2 yang nak try wat kuih ni..bolehla cube..klu nak lebih mencabar, cube bakar pakai kayu api.
Pada sesiapa yang nak cube resipi ni sila kanlah ni aku sertakan bahan2 dan cara membuatnya.

1/2 kilo tepung gandum
1/2 kilo gula
3 biji telur
1 sudu kecil garam
3 cawan santan
Minyak masak

Caranya:
Pukul telur sehingga kembang, kemudian masuk kan tepung gandum, gula dan santan berselang seli.Pukul sehingga rata kemudian masukkan garam. Setelah siap bahan tersebut, panaskan minyak dan acuan kuih sepit a.k.a kapit.Setelah minyak panas, letak bahan yang dicampur tadi di atas acuan dan kepit, kemudian masuk ke dalam minyak. Goreng sehingga kuning keemasan, kemudian kikis kulit di tepi acuan. Buka tudung acuan dan keluarkan isinya untuk dilipat denga segera. Biarkan sejuk sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.


nota hati: Jika nak lebih mudah, order jer ngn saya 0172248074
               50 keping - Rm 10, 100 Keping - Rm 18.
                Jika nak saya pos kan juz tambah Rm 6.

Mudah, senang dan ringkas kan..hehehe

Jumaat, 20 Julai 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum w.b.t kepada penulis, pengikut dan pembaca blog semua..

          Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan al-mubarak. Semoga di bulan mulia ini kita sama meraih ganjaran dari Allah dengan mempertingkatkan amal ibadat kita..amin..

           Pagi tadi saya pergi mendengar ceramah mengenai bulan ramadhan yang bertajuk Ramadhan Bulan Penyucian Jiwa anjuran PUSPANITA jabatan tempat saya bertugas. Syabas dan tahniah diucapkan kepada AJK dan ahli PUSPANITA yang berjaya dalam penganjuran ceramah ini. Semoga anda semua mendapat ganjaran dari ALLAH atas usaha murni ini.

           Banyak ilmu yang saya dapat dalam program tersebut. Dari perkara2 yang membatalkan puasa hingga perkara2 sunat dalam bulan Ramadhan. Namun apa yang paling menarik perhatian saya adalah ibadat yang menentukan amal puasa dan perkara suant yang kita buat itu diterima Allah atau tidak iaitu IBADAT WAJIB yang perlu dilaksanakan setiap hamba-NYA iaitu SOLAT FARDHU..


             Menurut penceramah Al-Fadhil Ustaz Hj. Wan Hamidi Wan Mat yang menyampaikan ceramah tadi "Barangsiapa Yang Mendirikan Solat, Bermakna Dia Menegakkan Agamanya. Tetapi Barangsiapa Yang Meninggalkan Solat, Bermakna Dia Meruntuhkan Agamanya". Bila saya renungkan kembali dan berfikir menggunakan akal dan pengalaman serta ilmu agama yang sedikit ini, memang benar apa yang dikatakan penceramah. Ini kerana Ibadah Solat adalah pemangkin kepada pemurnian dan pembersihan jiwa seseorang muslim. Jika yang wajib kita tidak dapat laksanakan, apatah lagi ibadah sunat.

             Jadi marilah kita sama2 memantapkan dan menetapkan hati dalam memperkemas dan memperbaiki Ibadat Solat kita agar kita dapat ganjaran penuh dari ALLAH. Apabila pelaksanaan dalam Ibadat Fardhu dimantapkan, Insyaallah, Ibadat yang sunat juga boleh kita lakukan dengan Istiqomah.

Antara amalan sunat yang digalakkan dilakukan di dalam bulan Ramadhan:

1. Perbanyakkan bersedekah
2. Membaca Al-Quran (Sebolehnya Khatam dihujung ramadhan)
    -caranya: baca paling kurang 4 mukasurat selepas solat fardhu.
3. Melazimi solat sunat tahajjud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat.
4. Sentiasa berzikir.
5. Qiamullail (diisi dengan solat sunat dan zikrullah)

               Saya menyeru kepada diri saya dan pembaca serta pengikut blog saya, marilah kita sama-sama meraih ganjaran dibulan yang penuh barakah ini. Semoga segala amalan kita diterima ALLAH.amin. Disini juga saya ingin memohon maaf sekiranya penulisan saya selama ini ada menyinggung mana2 insan yang mengikuti dan membaca blog saya. Harap anda semua maafkan saya...

"Selamat Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadan Al-Mubarak"

Teruna Banjar @ Mohd Hardani Bin Herman

Khamis, 19 Julai 2012

Semut Masuk Ke Dalam Air...


Orang kata, air yang dimasuki semut ni jika diminum bersama-sama semut tersebut, orang yang meminum’nya juga akan menjadi bodoh seperti semut. Tapi semut tu bodoh ke? Semut lebih bijak dari serangga lain sebenarnya. Apapun jom la kita tanya ustaz yang lebih mengetahui apa hukum minuman yang dimasuki semut dari pandangan Islam.


Soalan:
Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?

Jawapan:
Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:

1. Bangkai semut yang masuk atau jatuh ke dalam air yang sedikit.Yakni ia telah mati sebelum jatuh dalam air.Ini berlaku 2 keadaan:

a: Jika ia jatuh dengan iktiar kita(sengaja),contohnya kita memasukkan gula atau susu yang ada bangkai semut ke dalam air.Hukumnya najis.

b: Jika ia jatuh bukan dengan iktiar kita(tak sengaja).contohnya ia jatuh dalam air kerana ditiup angin,hukumnya najis,jika berubah sifat air itu:tetapi dimaafkan jika tak berubah sifatnya.

2: Semut yang masuk ke dalam air ketika masih hidup tetapi mati (lemas) di dlmnya.Ini berlaku dalam 2 keadaan:

a: Ia masuk(jatuh) dengan sengaja.contohnya apabila memasukkan gula yang ada semut atau ketika menapis air.Jika:

1. Mati dengan sendirinya,hukumnya dimaafkan menurut ibnu hajar tapi menurut sheikh Ramli,tetap najis kerana sengaja dimasukkan.

2. Ia mati dalam air itu dengan tak sengaja.contohnya mati semasa bancuh air atau ketika hendah keluarkannya.Hukumnya najis.

b: Ia masuk(jatuh) ke dalam air bukan dengan sengaja.contohnya ia masuk kerana ditiup angin.Hukumnya:

1: Jika mati dengan sendiri(lemas),maka dimaafkan.Minum air itu selapas dibuang bangkainya.
2: Jika mati dengan ikhtiar kita,maka air itu najis dan tak boleh diminum.

MEMAKAN ATAU MEMINUM BENDA yang NAJIS,AKAN MELEMAHKAN DAYA PEMIKIRAN KITA SERTA BERDOSA.


Nota: Jika memang da rasa was-was dengan air yang bercampur semut tu, ganti jela dengan air yang lain.

‘Arafah’ Cinta




Jika benar menyambut hari Valentine ini tanda menghargai cinta, maka kitalah yang paling layak menyambutnya, kata saya, “bukan untuk menyerupai orang kafir tetapi Islam benar-benar menghargai cinta.”

Saya mengatakan demikian kerana Islamlah agama yang paling ke hadapan dalam menjaga kesucian cinta.

Apa tidaknya cinta (antara lelaki dan wanita) lahirnya di tempat yang paling mulia. Cinta lahir di syurga! Ketika semua nikmat di syurga dapat dikecapi, nabi Adam masih terasa ada “kekosongan”. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya, lalu diciptakannya seorang wanita – Hawa, bersama cinta. Lalu kekosongan itu pun terisi. Cinta adalah nikmat hati. Dan manusia yang pertama mengecap nikmat itu ialah seorang yang mulia – seorang nabi. Di mana? Di syurga!

Cinta dilahirkan di tempat yang baik (syurga), dianugerahkan oleh yang Maha baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (nabi Adam a.s) dan diwariskan untuk orang yang baik-baik (para solihin). Sekali lagi, cinta lahir di syurga dan akan berakhir (kembali) ke syurga.
Menyedari hakikat itu, marilah kita sucikan cinta seperti mula ia dianugerahkan Allah. Hanya dengan cinta yang terjaga kesuciannya sahaja manusia yang saling bercinta itu akan memasuki syurga. Bagaimana menjaga kesucian cinta?

1. Bercinta kerana Allah
Sedarlah sentiasa bahawa cinta itu adalah “hadiah” daripada Allah. Justeru, jangan sekali-kali kita terleka dengan hadiah sehingga melupakan Pemberi hadiah (Allah). Cinta sesama makhluk jangan sampai mengatasi cinta kepada Allah. Cinta bukan Tuhan. Ia hanya hadiah daripada Tuhan. Malangnya, dalam cerita-cerita cinta versi Barat dan Timur, kerap kali dipaparkan seolah-olah cinta itu “Tuhan”.

2. Menjaga peraturan cinta.
Kedua, cinta itu anugerah Tuhan yang diturunkan bersama peraturannya. Hargailah cinta dan hargai jugalah “peraturan cinta” yang dianugerahkan bersamanya. Maka begitulah dengan peraturan cinta. Jangan dipinggirkan peraturan itu tatkala bercinta. Jika tidak, cinta akan tercemar dan bertukar, dari nikmat yang paling indah menjadi racun pemusnah. Inilah akibatnya melupakan peraturan Tuhan dalam bercinta.

Peraturan cinta itu apa? Ia adalah syariat – hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan dilanggar yang haram kerana cinta. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Manakala yang makruh dan sunat dipulangkan kepada kebijaksanaan dan kewarakan untuk membuat atau meninggalkannya. Percayalah, kemanisan dengan menempuh jalan yang haram, akan berakhir dengan kepahitan. Percayalah, kepahitan yang dirasai kerana menjaga yang wajib pasti membuahkan kemanisan yang berkekalan.

Telah dikatakan sebelumnya bahawa cinta itu adalah “warisan” Nabi Adam buat orang yang baik-baik di belakang hari. Jadi, untuk menikmati dan menjaga kesucian cinta jadilah orang yang baik-baik dengan selalu membuat kebaikan. Bagi suami isteri yang sudah diikat dengan tali perkahwinan, jadikanlah cinta dalam rumah tangga untuk melaksanakan kebaikan kepada anak-anak, tetangga dan masyarakat.
Raihlah sebanyak-banyaknya pahala sabar, reda, qanaah dan mujahadah semasa berperanan sebagai suami atau isteri. Tuailah sebanyak-banyak pahala dalam menguruskan rumah tangga. Untuk mengekalkan cinta sampai syurga cintailah yang Maha kekal (Allah). Ikut syariat-Nya dalam apa jua keputusan. Katakan pada diri selalu bahawa suami atau isteri bukan milik kita.

Pernah Sayidina Abu Bakar memerintahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila dilihatnya anak lelakinya itu semakin cuai solat berjemaah kerana asyik “berulit” dengan isteri. Tindakan itu bukan untuk memutuskan cinta keduanya tetapi demi mengikat cinta itu dengan tali Allah. Sayidina Abu Bakar menyedari cinta manusia yang membelakangkan cinta Allah tidak akan sampai ke syurga!

Ingat selalu, untuk bercinta sampai ke syurga di akhirat jadilah rumah tangga kita “syurga” di dunia – Baiti Jannati. Muhasabah selalu bersama isteri atau suami apakah rumah tangga sekarang sudah layak digelar “syurga”? Jika belum, berusahalah. Bermujahadahlah. Berkorbanlah. Pandang muka isteri (atau suami), pandang seorang demi seorang anak-anak kita… Ucapkan pada diri, “tidak akan aku biarkan seorang pun daripada kamu terpisah di akhirat nanti. Kita semua akan berkumpul sekali lagi… abadi di syurga nanti. Insya-Allah. Amin.”

Bercintalah sampai syurga, jika benar-benar cintakan pasangan kita. Untuk itu bersedialah menempuh kesusahan. Nabi Adam dan Hawa mula bercinta di syurga, diuji dengan satu larangan, tersalah… dan “tercampak” ke dunia. Cinta terpisah sekian lama. Adam di satu penjuru. Hawa di penjuru yang lain. Bertaubat terus-terusan. Raja’na illallah (kembali kepada Allah). Dan akhirnya apabila cinta yang “tercemar” itu kembali bersinar, bertemulah semula cinta mereka di Arafah!

Cinta sampai syurga… jangan melupakan cinta Allah. Jangan dilanggar syariat-Nya. Jika sudah tercemar, gilap kembali agar bersinar. Insya-Allah, akan ada “Arafah” cinta kita. Akan ada syurga kita!

Tip bercinta sampai syurga.
  • Dahulukan hak Allah daripada hak pasangan kita.
  • Sentiasa bekerjasama untuk membuat kebaikan dalam rumah tangga dan masyarakat.
  • Sama-sama saling ingat mengingatkan agar menjauhi kemungkaran.
  • Rela berkorban kesenangan sesama pasangan demi bakti sesama manusia.
  • Berdoa dan bersedekah sebagai wasilah mengekalkan cinta.