Kata orang lihat pada sebelah
paginya – tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang
lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar
biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan
pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam
Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana
“terlepas” malam Al Qadar.
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap
malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu
dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!”
Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan
Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat
beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “
jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan
suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah hanya pada malam itu
sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus
melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain
yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri.
Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa,
taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi,
jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi
lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah
lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah
diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan
malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan
dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat
malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki,
dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan?
Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama
sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang
paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya
pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit
fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling
tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada
tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu
dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya
berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat
akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan
menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan
kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam
hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita
lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik.
Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa
berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara
malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang
akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh
“penakluknya”.
Orang yang mendapat malam Al
Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan,
malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati
kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu.
Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi
pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan
dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah
mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia
hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang
dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah
berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada
dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu
yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri
manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini,
kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu
atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita
akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan
Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang
cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang,
boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita
mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju
malam Al Qadar nanti…
Persediaan menenemuinya bukan
dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat
kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan
membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati
sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku
takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan
hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku,
kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai
Rahim..aminn
Nota Hati : Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mendapat rahmat di malam lailatul qadar..amin.. Mari sama-sama meningkatkan amal ibadat kita di bulan rahmat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Harap anda semua memberi komen atau kritikan yang membina dan penuh berhemahserta tidak menyentuh / menyinggung perasaan / peribadi seseorang.
Terima kasih.