Dipetik dari Berita Harian:
Panas baran dan tegas. Itu disimpulkan oleh bekas Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Qamaruz Zaman Ismail, 80, ketika menceritakan mengenai ciri-ciri masyarakat Banjar. Ini disebabkan sejarah masyarakat itu sendiri yang sentiasa berdepan dengan krisis peperangan menuntut hak mereka.
Malah, diakatakan sejak mereka berhijrah ke Tanah Melayu, masalah bahasa menyebabkan kurangnya interaksi di antara mereka dengan penduduk sedia ada. Memilih untuk hidup berasingan, jauh daripada masyarakat lain juga menjadikan mereka dilihat seperti sukar untuk didekati.
“Dulu, masyarakat kami terbawa-bawa dengan cara hidup dan keadaan di Banjarmasin dengan kebanyakan masalah diselesaikan dengan peperangan dan pemberontakan. Pendek kata, gaduh, sikap panas baran itu dibawa sampai ke sini sama seperti orang Tagalog di Filipina yang asalnya orang Banjar, juga panas baran.”
Ada dua kelompok penghijrahan orang Banjar ke negara ini iaitu mereka yang mahu bebas daripada masalah dan tekanan di Banjarmasin serta sekelompok lagi ialah pendakwah. Mereka yang lari dan mahu bina kehidupan baru memilih untuk mengasingkan diri dan tinggal jauh di dalam hutan.
Mereka ini tidak begitu disegani orang tempatan kerana masalah bahasa. Justeru, mereka buat tebuk (laluan ke tengah hutan) dan bina perkampungan di sana. Biasanya dalam satu tebuk ada beberapa keluarga daripada kelompok sama.
Kelebihan tebuk ialah tiada siapa tahu ada laluan di situ dan jika dapat ditemui laluan itu seterusnya ke hujung tebuk, baru tahu rupa-rupanya ada perkampungan di situ. Mereka diam-diam saja dalam tebuk. Tiada siapa tahu. Itu menyebabkan hubungan mereka dengan masyarakat luar agak kurang dan sekadar dalam kelompok mereka sendiri.
“Orang Banjar memang sejak dulu lagi terkenal dengan sikap mudah naik radang. Dulu kalau masuk kampung pakai kopiah senget pun akan ada orang yang betulkan dan beri teguran sebab pemakaian sebegitu dianggap samseng. Nak selamat, pakai elok-elok. Itu menunjukkan orang Banjar pantang dengan sesuatu yang boleh mencabar mereka,” katanya.
Sebenarnya memang orang Banjar ada sikap pantang dicabar. Pemakaian kopiah senget dalam masyarakat kampung dulu dianggap mencabar penduduk di situ dan sebagai orang berdarah pahlawan, mereka pantang dicabar. Sikap itu sebenarnya terbawa-bawa sehingga hari ini, namun dalam konteks positif di mana mereka terkenal sebagai pesaing hebat dalam semua bidang.
Menyambung ceritanya, Qamaruz Zaman berkata, dulu selalu berlaku pertikaian dan pergaduhan ketika ada pekan sehari. Kadangkala sampai bertikam dan berbunuhan. Malah, ketua samseng dalam masyarakat Banjar dulu menyimpan misai. Misai dikatakan lambang kepada kehebatan dan ketinggian ilmu persilatan seseorang.
Mengikut cerita, pernah berlaku pergaduhan antara dua orang. Orang Banjar yang bergaduh itu diasak teruk sampai rebah menyembah bumi. Ketika cuba bangun dan menyapu pasir di mukanya, dia tersentuh misai sendiri. Baru dia sedar yang dia bermisai, sekaligus menaikkan semangatnya kembali kerana dia perlu tunjuk dia kuat.
“Saya rasa sikap garang ini sudah ada dalam darah orang Banjar. Orang Banjar dulu takkan ke mana-mana tanpa pisau belati di pinggang. Masih saya ingat lagi, dulu terkenal pisau belati degan logo garpu buatan Jerman. Itu senjata wajib orang Banjar. Ia mungkin kerana didikan sejak kecil, di mana anak akan dipuji jika berani,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui sikap sebegitu sebenarnya bukan saja ada pada orang Banjar, malah kebanyakan pendatang yang berhijrah ke sini kerana tindakan mereka merantau ke negara orang itu sendiri membuktikan mereka masyarakat yang berani.
NOTA KAKI:
Admin tidak menafikan kebenaran cerita di atas. Lelaki Banjar tak lekang dengan parang panjang di tangan atau terselit antara tempat duduk dan ‘ancak’ basikal, parang pendek bersarung kayu (yang disebut sebagai ‘parang kumpang’ oleh orang Banjar) terjuntai dengan talinya terikat di pinggang, pisau belati bersarung kulit terselit di pinggang atau tersimpan rapi dalam kocek seluar…ilmu persilatan pula ialah “langkah 12″.
Itu identiti Banjar zaman dulu, era di mana suku kaum Banjar sinonim dengan ungkapan “di mana ada purun dan bemban, di situ ada Banjar”.
Banjar hari ini sudah tak kenal apa itu ’purun’ dan apa itu ‘bemban’.
Sebelum ada tali rapiah, ‘purun’ dibuat tali, atau dianyam dibuat tikar. Kulit bemban disiat dan dianyam menjadi tikar atau raga. Sekarang kalau ditanya kepada anak-anak banjar tentang bahasa banjar, rata-rata tidak tahu dan memahami bahasa banjar. Al-maklumlah, dah bercampur dengan melayu di sini. Jadi kepada anak-anak yang berdarah orang banjar..rajin-rajin lah belajar mengenai adat dan bahasa banjar..sekurang-kurangnya memahami sepatah dua kata agar tidak hilang identiti anda.
p/s: Saya bangga dilahirkan dalam bangsa banjar yang beragama islam dan menjadi warganegara Malaysia J
“Love ur self, then others will love you”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Harap anda semua memberi komen atau kritikan yang membina dan penuh berhemahserta tidak menyentuh / menyinggung perasaan / peribadi seseorang.
Terima kasih.