Assalamualaikum dan Selamat sehjahtera,

Pertama sekali, terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Diharap anda enjoy dengan post yang saya pamerkan pada blog ini. Sekiranya ada komen / pandangan yang diberikan, sila-silalah catat komen anda yer.

Errmmm..nak cakap pe lagi yer…huhu…itu jela….selamat melayari blog…terima kasih sekali lagi…peace..Wassalam…

Mohd Hardani @ Teruna Banjar (^_^)


Selasa, 14 Ogos 2012

Musibah atau Barakah Bukan Kesimpulan Hidup




Suatu masa ada seorang petani miskin yang mempunyai seekor kuda yang sangat indah. Kuda putih yang gagah itu sangat menarik perhatian sehingga raja terpikat dan bermaksud untuk membelinya. Tapi si petani menolak untuk menjualnya.

Si petani itu tidak bersedia menjual kuda itu walaupun raja sudah berkenan membayar dengan harga berapa pun. Jiran sekitar petani sangat menyesal dengan sikap petani miskin itu. Mereka berpendapat bahawa dengan menjual kuda itu, petani itu dapat mengubah hidupnya dan menjadi lebih senang. Jiran tetangga petani itu juga ada mengatakan bahawa kemungkinan petani itu akan menerima musibah atau kutukan akibat menolak rezeki sedemikian besar.

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Beberapa hari kemudian, kuda putih milik petani itu hilang daripada kandangnya. Tetangga si petani miskin itu berasa hairan. Mereka menyalahkan petani miskin itu yang tidak mahu menjual kudanya.

Mereka mendatangi petani miskin itu dan mengatakan bahawa dia telah terkena kutukan, dengan adanya musibah itu. Dengan menarik nafas agak panjang, si petani menjawab: “Kalian jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kudaku itu keluar dari kandangnya. Itu saja! Jangan engkau menganggap ini sebagai musibah atau malah barakah bagi saya!”

Setengah bulan kemudian, tiba-tiba kuda itu muncul dengan membawa lima ekor temannya. Kuda-kuda itu kemudian dilatih dan selepas jinak, dijual oleh petani itu dan dapat hidup mewah.

Semua tetangga menemui petani dan mengakui kesalahan mereka. Mereka mengatakan bahawa memang hilangnya kuda putih setengah bulan lalu adalah barakah. Si petani kemudian berkata: “Sudahlah jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kuda putih telah kembali dengan membawa teman-temannya. Itu saja! Jangan engkau mengatakan bahawa ini adalah sebuah musibah atau malah barakah bagi saya”.
Jiran tetangga kembali ke rumah masing-masing sambil tetap berpendapat bahawa petani itu begitu beruntung kerana telah mendapat barakah atas kembalinya kuda putihnya.

Si petani ini mempunyai seorang putera. Dia membantu ayahnya untuk menjinakkan kuda liar. Pada suatu saat, dia terjatuh ketika berusaha menjinakkan seekor kuda. Kakinya patah.

Tetangga pun kembali datang dan membenarkan apa yang dikatakan si petani. Mereka akhirnya mengakui bahawa kembalinya kuda-kuda itu bukan membawa barakah. Namun, si petani berkata: “Mengapa kalian begitu bodoh. Jangan terlalu cepat menyimpulkan! Baiklah anggap saja puteraku telah jatuh dan kakinya patah. Itu saja! Jangan engkau mengatakan apakah ini sebuah musibah atau barakah bagi saya.”

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al Baqarah: Ayat 216).

Jumaat, 10 Ogos 2012

TANDA - TANDA MALAM AL-QADAR...

Dipetik laman sesawang dakwah seorang hamba Allah yang sentiasa berjuang menegakkan jihad dalam penulisan.


Kata orang lihat pada sebelah paginya – tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.

Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!” Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja.”

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat. 

Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!

Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.

Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…

Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!


Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim..aminn


Nota Hati : Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mendapat rahmat di malam lailatul qadar..amin.. Mari sama-sama meningkatkan amal ibadat kita di bulan rahmat ini.

KESAN NIKMAT ITU PERLIHATKANLAH!



Apa yang ada di dalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.

Justeru, Sayidina Uthman Ibn Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan,”Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu, kecuali Allah akan mengungkapnya melalui raut wajah dan lisannya.”
Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.

Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,”Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik.”

Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?

Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.   

Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Auf bin Malik menceritakan, “Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan berpakaian yang sudah lama dan lusuh.” Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu mempunyai harta?” Aku menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi,”Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?” Aku menjawab,”Allah memberikan pada ku melalui unta, kambing, keldai dan tepung.” Lantas Rasulullah SAW berkata, “ Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepada mu.”

Dalam konteks yang sama pernah Rasulullah SAW melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus, lalu baginda bersabda,”Apakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?” Rasulullah SAW juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas baginda menegur,”Apakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?”

Ternyata Rasulullah SAW adalah orang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah SAW. Baginda adalah “Al Quran hidup” yang begitu indah bila dilihat, apalagi bagi yang bergaul bersamanya. Dari Jabir bin Samrah  RA, diriwayatkan,”Aku melihat SAW pada suatu malam terang bulan, aku melihat antara Rasulullah SAW dan bulan.” Jabir menyambung.” Ternyata Rasulullah SAW bagi ku lebih indah daripada rembulan.”

Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, sikaya dan simiskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam.

Itulah juga tradisi dan ‘life style’ para Salafus soleh. Imam Ahmad Ibnu Hanbal rhm misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan seorang yang kaya. Beliau adalah seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati.

Tentang penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya Al Maimuni telah berkata,”Aku tidak pernah melihat ada seseorang yang memakai pakaian lebih bersih dari Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih seperti  yang dipakai oleh Imam Ahmad.”

Inilah jalan yang ditempuh oleh para Salafus soleh untuk meneladani jalan Rasulullah saw dan inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat, wajah, lisan, pakaian dan luaran kita adalah terjemahan apa yang ada di dalam hati kita!

nota hati : tak perlu belajar control wajah dalam semua keaadaan, yang penting jaga hati dan sentiasa mensyukri nikmat Ilahi. Insyaallah hati akan tenang dan wajah akan berseri. Kerana insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Ilahi akan sentiasa berasa tenang. Insyaallah..